Friday 26 August 2011

Maafkan Daku, Wahai Mama

Pejam celik, pejam celik, Ramadhan 1432H pun dah sampai ke penghujungnya. Kisah pasal Ramadhan, aku hanya manusia biasa yang banyak kekurangan dan kelemahan. 

Kesilapan lalu, membuatkan aku ingin memperbaiki Ramadhan aku kali ni. Telah banyak aku abaikan peluang dan masa pada Ramadhan yang lalu. Tapi Ramadhan kali ni, aku harap aku takkan sia-siakan peluang yang Allah swt bagi pada aku kerana aku takut. Aku takut sekiranya aku tidak berpeluang menikmati Ramadhan yang akan datang. Dari awal sehingga ke penghujung. Dalam berusaha, baru aku sedar betapa susah dan sukarnya untuk mencapai keikhlasan yang sebenar. 

Terhenti solatku seketika. Aku merenung jauh ke hadapan sambil menyelami ke dalam diri ini. Malu rasanya kepada Illahi yang sedang melihat hambaNYA yang kerdil ini. Hatiku merintih, "Ya Allah, sukarnya aku untuk mencapai keikhlasan sebenar. Sukarnya aku untuk melakukan sesuatu dengan ikhlas keranaMU. Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosaku. Aku hambaMU yang lemah lagi tidak berdaya. Ya Allah, jadikanlah aku hambaMU yang ikhlas dalam melakukan segala-galanya keranaMU. Sucikan hatiku, jauhkan aku dari perasaan angkuh, sombong dan bongkak serta hasad dengki. KAU Maha Besar, ya Allah. PadaMU aku berlindung. PadaMU jua aku berserah diri. Ameen." Walaupun sedikit terdetik di hati kita, maka hilanglah segala keikhlasan dalam jiwa kita. Nauzubillah... Kini, baru aku sedar apa itu keikhlasan yang sebenar. Ikhlas, sangat mudah diungkap tetapi sangat sukar untuk dicapai.

Sampai di penghujung Ramadhan, iaitu 10 malam terakhir. Sekali lagi aku berusaha untuk beriktikaf di masjid. Aku hanya manusia biasa yang hanya mampu merancang tetapi Allah swt jualah yang menentukan segalanya. Aku leka dengan usahaku dalam mendekatkan diri pada Allah swt sampai aku lupa dan tidak sedar bahawa ada insan yang memerlukan aku.

Saban hari, bila aku balik dari masjid pasti mama akan berkata, "Jay, malam ni sahur tak  de lauk nak masak." Aku dengan lurus menjawab, "Apa-apa pun boleh, ma. Goreng ikan bilis pun tak pe." Sekali lagi mama bersuara, "Tilam toto tu nak hantar dobi. Lambat-lambat nanti tak sempat, nak raya da ni." Dan sekali lagi dengan lurus dan tidak berfikir panjang, aku membalas, "siang, jay2 keje, malam tak sempat... Tengoklah nanti." 2, 3 hari berlalu. Aku tetap memberi jawapan yang sama kerana dalam fikiran aku ketika itu, mana ada kedai buka malam-malam ni nak pergi beli lauk dan apabila siang, tak sempat untuk melakukan apa-apa sebab aku bekerja. Entah macam mana, petang semalam aku berkira-kira untuk tidak ke masjid sebab aku nak bawa mama pergi beli lauk dan hantar toto ke dobi. Ku pujuk hatiku, 'tak pe, tarawih kat rumah jer hari ni.'

Sesudah solat Maghrib, aku ajak mama keluar untuk beli lauk dan hantar tilam toto ke dobi. Sepanjang bersiap untuk keluar, macam-macam mama senaraikan benda yang dia nak beli dan beberapa perkara yang dia nak buat. Excited mama, akhirnya dapat keluar untuk melakukan beberapa urusan sampai tilam toto yang nak dihantar ke dobi pun tertinggal. Aku bawa mama pergi pasaraya untuk beli barang dapur. Sampai pasaraya, mama sibuk pilih barang-barang yang dia nak beli. Aku layankan saja demi meluangkan masa bersama mama. Lepas tu, singgah rumah adik aku untuk ambil tray untuk buat kuih dan pergi minum kat mamak. Kat situ baru aku perasan, mama nampak happy. Itulah yang mama minta kat aku 2,3 hari lepas tapi aku tak perasan. Maafkan anakmu yang lurus ini, wahai mama.

Lepas selesai segala urusan, balik rumah dan sudahkan solat Isyak dan solat sunat tarawih di rumah sebelum tidur. Apapun aku puas hati sebab aku dapat penuhi kehendak mama aku. Betul kata orang, tak salah kalau kita gembirakan hati orang. Kita akan turut gembira bila orang lain gembira. Dan pasti, perbuatan baik akan dibalas baik. Itu janji Allah swt.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment